MV Pulau Kidjang Dalam Kenangan (Part 1)


39 tahun yang lalu...


Tanggal 27 Disember 1973, hari-hari yang sebelumnya ini tampaknya tenang tiada gangguan dan juga masalah, will never be the same again lepas nie. 

Apabila; pada tarikh keramat ini---> 27 Disember 1973, perairan sekitar Tanjung Jerijeh, Sarawak menjadi menjadi saksi ratusan jiwa terkorban. Apabila gelombang bergelora dengan rakusnya, memamah ratusan jiwa dalam kegelapan, tanpa cahaya. Apabila M.V Pulau Kidjang, tanpa rela menyembah dasar Muara Rejang sekitar Tg Jerijeh. Tengelam bersama seribu pengalaman, kenangan dan pertanyaan.

Itulah Tragedi M.V Pulau Kidjang yang tak akan dilupakan oleh generasi lalu dan generasi akan datang.

Bila bulan mengambang
Cahaya pun gemilang
Tiba-tiba mendung mendatang
Angin serta gelombang
Bertiup dengan kencang

Malang terus mendatang
Sebuah kapal panjang
Ukuran sama sedang
Diberi nama Pulau Kidjang
Malangnya Pulau Kidjang
Jadi mangsa gelombang
Tenggelam di lautan Rajang

Alangkah sedih oh Tuhan
pada hambamu yang malang
banyak nyawa terkorban
Menjadi peristiwa hingga masa kini
Kisah tragedi Pulau Kidjang

Itulah gambaran daripada lagu puisi ciptaan Suga Anak Juntu dr Simunjan 1980. Gambaran betapa tragisnya insiden ini. Tragedi maritim paling malang dalam Sejarah Sarawak.

Apakah MV Pulau Kidjang?
MV Pulau Kidjang ialah sebuah kapal pengangkutan di Sarawak (pada masa itu) yang boleh memuatkan ratusan kargo & manusia dalam satu-satu masa. Selain dari MV Pulau Kidjang, MV Rajah Mas sebuah kapal lain yang mempunyai perkhidmatan yang sama. Bermula dari Perlabuhan Kuching dengan perjalanan mengambil masa lebih kurang sehari melalui Sarikei dan berakhir di perlabuhan Sibu. Dibina di Indonesia, MV Pulau Kidjang yang beratnya 227 tan. Dibeli Syarikat Central Shipping Co di Singapura dengan harga RM320,000 (1965). Diketuai oleh Kapten Awang Hashim Hj Hamzah. Dibantu oleh Juragan Che Alip dan 28 kelasinya. Hampir 8 tahun berkhidmat bersama MV Pulau Kidjang, menjalankan tugas harian mereka membawa muatan kargo dan manusia berulang-alik dari Kuching menuju ke Sibu dan kemudian kembali ke Kuching.

Segalanya bermula...
26 Disember 1973. Sambutan Krismas baru saja berakhir. Pada pukul 6.30 petang, setengah jam lewat dari masa yang biasa ditetapkan untuk MV Pulau Kidjang bertolak dari Perlabuhan Kuching, iaitu 6.00 petang. Membawa ratusan penumpang dari pelbagai latar-belakang, pelbagai kaum dan agama. Cina, Iban, Melayu, Melanau, Bidayuh dan sebagainya. Bersesak-sesak dalam MV Pulau Kidjang. Masing-masing ada urusan tersendiri menuju ke destinasi yang ingin ditujui. Ada yang ingin ke Sarikei, ke Sibu, ke Kanowit. Rata-ratanya baru saja selesai menyambut Krismas dan ingin kembali ke tempat asal.

Penumpang-penumpang First Class dan Second Class, ditempatkan dalam kabin-kabin yang disediakan. Manakala bagi penumpang-penumpang biasa pula, tidur di mana-mana saja yang mereka rasakan selesa. Bahkan ada yang sanggup tidur atas timbunan guni beras, jagung atau makanan dalam tin dalam ruang kargo. Namun, mereka sama sekali tak merungut, asalkan mereka tak kehilangan tiket dan ada tempat tidur pun sudah memadai. Destinasi yang ditujui pun tetap sama juga. Untuk mengelakkan kelaparan, ada yang membawa bekalan makanan sendiri, dan bekalan air minuman yang mencukupi untuk perjalanan yang mengambil masa sehari lebih ke Sarikei & Sibu.


Perairan Sarawak pada saat itu, sangat tenang dan selamat. Jarang berlaku kemalangan jiwa. Tiada lanun. Tak banyak kawasan bahaya. Kurang ancaman. 




Namun segala-galanya berubah, pada pukul 3.00 pagi, 27 Disember 1973. Dalam pekat kegelapan awal pagi itu, MV Pulau Kidjang terumbang-ambing apabila Tuhan menunjukkan kuasanya. Laut tiba-tiba saja bergelora & angin bertiup dengan ganasnya, menyebabkan MV Pulau Kidjang terlanggar beting pasir dan terperangkap. Ombak pula berterusan memukul MV Pulau kidjang tanpa belas-kasihan. 

Semua penumpang menjadi panik, ada yang menjerit, ada yang menangis, ada yang berdoa. Ada yang bertolak-tolakan. Ada yang terjatuh ke dalam laut. Suasana menjadi kelam-kabut dan bertambah teruk apabila semua lampu dalam MV Pulau Kidjang terpadam begitu saja. Keadaan begitu gelap. Yang kedengaran hanya tangisan-sayu dan jeritan meminta tolong. Dalam masa beberapa minit saja, suasana terus menjadi sunyi. Tiada lagi tangisan. Tiada lagi jeritan. MV Pulau Kidjang sudah pun tengelam menyembah dasar Muara Rajang

Penumpang-penumpang itu..........Dimanakah mereka semua?

Klik sini: MV Pulau Kidjang Dalam Kenangan (Part 2)


Comments

Post a Comment

Popular Posts